Monday 10 October 2016

Hari Sukan Negara dan Sukan Balapan Sekolah 2016

        Pada 8 Oktober 2016 yang lalu iaitu pada hari Sabtu, SMK Seri Tasik telah berjaya melaksanakan acara Sukan Balapan Sekolah dan menyahut seruan negara untuk sama-sama menyambut Hari Sukan Negara. Program dimulakan dengan senaman aerobik di Dataran Cemerlang yang diketuai oleh Cikgu Julaidah. Semua pelajar PPKI yang hadir turut menyertai bersama dengan pelajar arus perdana yang lain. Guru-guru juga tidak melepaskan peluang untuk turut sama membuat senaman aerobik.

        Kemudian, program diteruskan lagi dengan acara seterusnya di Padang Sekolah SMK Seri Tasik. Pelajar bergerak ke padang setelah tamatnya senaman aerobik. Program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Wilayah. Seterusnya, bacaan doa oleh wakil pelajar dan disusuli dengan persembahan silat. Kemudian, ucapan dari pengetua (Pn. Faizah Binti Hassan) dan YDP PIBG. Sejurus tamat ucapan, acara balapan diteruskan dengan acara yang pertama bagi kategori PPKI iaitu acara 50m lelaki dan perempuan, 100m lelaki dan perempuan dan akhir sekali 200m lelaki dan perempuan. Acara bagi kategori arus perdana menyusul sebaik sahaja kategori PPKI tamat. Kemudian, acara pembahagian hadiah kepada pemenang yang berjaya mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap acara. Tahniah dan syabas diucapkan kepada pelajar yang berjaya mendapat tempat dan kepada yang tidak berjaya, masih ada peluang di masa akan datang. Program tamat sejurus sahaja pengerusi majlis mengumumkan juara rumah sukan bagi tahun ini iaitu Rumah Sukan Bendahara.