Tuesday, 5 November 2013

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN SUKAN, KOKURIKULUM DAN KESENIAN PENDIDIKAN KHAS PERINGKAT KEBANGSAAN 2012

Pada 22 hingga 24 Oktober, telah berlangsung Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Pendidikan Khas 2012  di Dynasty Hotel, Kuala Lumpur. Program Pendidikan Khas SMK Seri Tasik telah mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk pencalonan Anugerah Cemerlang Permainan Berkumpulan.
      Alhamdulillah.....PPKI SMK Seri Tasik telah berjaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Permainan Berkumpulan 2012. Puan Pengetua Pn. Hjh. Siti Liah telah mewakili sekolah sekaligus Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menerima anugerah tersebut. Syabas PPKI SMK Seri Tasik.....
        Selain menerima anugerah, PPKI SMK Seri Tasik juga terlibat di dalam menjayakan majlis ini. Beberapa orang guru dan pelajar PPKI SMK Seri Tasik telah terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pendaftaran dan Penginapan serta Ahli Jawatankuasa Persembahan. Seramai 5 orang guru telah dilantik sebagai AJK Pendaftaran dan Penginapan manakala AJK Persembahan seramai 2 orang guru bersama 8 orang pelajar. Persembahan daripada pelajar PPKI SMK Seri Tasik tidak mengecewakan para hadirin sebaliknya mendapat tepukan yang sangat gemuruh dan pujian daripada hadirin. Guru-guru dan pelajar-pelajar PPKI SMK Seri Tasik telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan jayanya.


Tuesday, 17 September 2013

FISIOTERAPI KE-2

Pada 12 September 2013, PPKI SMK Seri Tasik telah menjalankan aktiviti fisioterapi. Program ini diadakan di Taman Pudu Ulu, Cheras. Aktiviti dimulakan dengan menjalankan aktiviti memanaskan badan iaitu senamrobik yang dikendalikan oleh Pn. Nur Ain bersama Cik Siti Mariam. Kemudian pelajar berjalan di atas batu refleksologi. Aktiviti berjalan kaki di atas batuan refleksologi sangat bagus untuk pelajar-pelajar pendidikan khas. Aktiviti seterusnya ialah berjogging di sekitar kawasan taman. Aktiviti terakhir ialah sukaneka. Setelah selesai, semua guru dan pelajar ke Jaya Jusco Taman Maluri untuk mobiliti dan menjamu selera. 

Monday, 16 September 2013

PROGRAM 1M1S PPKI

Program 1M1S PPKI telah dijalankan pada 10 September 2013. Program ini merupakan program tahunan yang melibatkan arus perdana dan program pendidikan khas. PPKI telah menjalankan pertandingan permainan futsal dan bola jaring. Pertandingan ini dibahagikan mengikut rumah sukan iaitu rumah sukan merah, biru, hijau dan kuning. Bagi kategori futsal, juara dimenangi oleh rumah kuning manakala naib juara dimenangi oleh rumah biru. Permainan bola jaring pula juara dimenangi oleh rumah biru dan naib juara dimenangi oleh rumah merah.
               Permainan untuk pelajar aras rendah untuk kategori lelaki adalah menyepak bola ke dalam gol yang dimenangi oleh Mohd Anuar Affendi sebagai juara manakala naib juara ialah Sakhtivel a/l Kanapathi dan tempat ketiga dimenangi oleh Azlan B. Abu Talib. Bagi permainan aras rendah untuk kategori perempuan adalah menjaringkan bola yang dimenangi oleh Nadhirah Binti Abu Bakar sebagai juara, Shamin Natasha Binti Mihd Hissham sebagai naib juara dan Sofea Sharmilla Binti Nasarudin ditempat ketiga.
                 Semua pemenang telah menerima hadiah berupa hamper, sijil dan hadiah iringan berupa jersi yang disumbangkan oleh BANK RAKYAT. Terima kasih diucapkan kepada penaja dan semua warga PPKI SMK Seri Tasik atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program tersebut. 

Tuesday, 27 August 2013

PROGRAM BUBUR LAMBUK 2013

Pada 1 Ogos 2013 bersamaan 24 Ramadhan, Program Bubur Lambuk telah diadakan di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri. Program ini diadakan dengan kerjasama Masjid Al-Najihin bersama-sama pelajar PPKI dan pelajar Tingkatan Empat SMK Seri Tasik. Kerjasama yang erat telah mengukuhkan lagi silaturrahim antara pelajar-pelajar dan ajk masjid. Program ini telah dirasmikan oleh Yg. Bhg. Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi iaitu Pengerusi Badan Gabungan Persatuan Penduduk Rukun Tetangga dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Parlimen Bandar Tun Razak. Bubur lambuk telah siap dimasak diedarkan kepada warga SMK Seri Tasik dan jemaah Masjid Al-Najihin. Program telah berjalan dengan jayanya..

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2013

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri telah diadakan pada 22 Ogos 2013 di Bilik Hujrah Tasik 2, SMK Seri Tasik. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pn. Pengetua Pn. Hjh. Siti Liah Binti Che Muda. Turut hadir menyerikan majlis ini ialah Imam Masjid Al-Najihin, Ustaz Mohd Abdul Aziz Bin Mohamad. Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan daripada pelajar iaitu Putra dan Nurul Nabila dari kelas Cempaka. Majlis penyampaian hadiah untuk pertandingan karaoke lagu raya dan pertandingan baju raya tercantik juga diadakan. Pemenang pertandingan karaoke lagu raya telah dimenangi oleh Putra dari kelas Cempaka. Bagi pertandingan baju raya tercantik kategori lelaki dimenangi oleh Muhd Afiq dari kelas Dahlia manakala kategori perempuan pula dimenangi oleh Nur Faidatul daripada kelas Bakawali. Selain daripada penyampaian hadiah, penyampaian duit raya juga diadakan. Penyampaian duit raya telah disampaikan oleh Puan Pengetua.   

Friday, 23 August 2013

PROGRAM IHYA RAMADHAN 2013

Sepanjang bulan Ramadhan bermula 31 Julai hingga 2 Ogos, PPKI SMK Seri Tasik telah mengadakan Program Ihya Ramadhan. Pelbagai aktiviti dan program telah dijalankan antaranya pertandingan tulisan khat, pertandingan melukis gambar masjid dan pertandingan nasyid. Sepanjang bulan Ramadhan juga guru-guru PPKI menyampaikan tazkirah kepada pelajar-pelajar Islam di surau SMK Seri Tasik semasa waktu rehat. Selain itu, projek membuat kuih raya iaitu Kuih Conflake Coklat juga dijalankan untuk diberi kepada setiap pelajar. Selain projek membuat kuih raya, projek memasak juadah berbuka juga dijalankan. Antara menu yang dimasak ialah kuih popia sambal, vadee, roti gulung dan kek batik. Aktiviti membuat kotak untuk diisi kuih raya dan membuat sampul raya juga dijalankan. Setiap pelajar diminta membuat dan menghias kotak masing-masing untuk diisi balang kuih raya. Sampul raya yang siap dibuat pula dijual kepada pelajar-pelajar dan guru-guru SMK Seri Tasik. Program memasak bubur lambuk juga dijalankan dengan kerjasama Masjid Al-Najihin. Aktiviti terakhir dalam Program Ihya Ramadhan merupakan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya yang disempurnakan oleh Pn. Pengetua Pn. Hjh Siti Liah Binti Che Muda.