Tuesday, 27 August 2013

PROGRAM BUBUR LAMBUK 2013

Pada 1 Ogos 2013 bersamaan 24 Ramadhan, Program Bubur Lambuk telah diadakan di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri. Program ini diadakan dengan kerjasama Masjid Al-Najihin bersama-sama pelajar PPKI dan pelajar Tingkatan Empat SMK Seri Tasik. Kerjasama yang erat telah mengukuhkan lagi silaturrahim antara pelajar-pelajar dan ajk masjid. Program ini telah dirasmikan oleh Yg. Bhg. Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi iaitu Pengerusi Badan Gabungan Persatuan Penduduk Rukun Tetangga dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Parlimen Bandar Tun Razak. Bubur lambuk telah siap dimasak diedarkan kepada warga SMK Seri Tasik dan jemaah Masjid Al-Najihin. Program telah berjalan dengan jayanya..

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2013

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri telah diadakan pada 22 Ogos 2013 di Bilik Hujrah Tasik 2, SMK Seri Tasik. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pn. Pengetua Pn. Hjh. Siti Liah Binti Che Muda. Turut hadir menyerikan majlis ini ialah Imam Masjid Al-Najihin, Ustaz Mohd Abdul Aziz Bin Mohamad. Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan daripada pelajar iaitu Putra dan Nurul Nabila dari kelas Cempaka. Majlis penyampaian hadiah untuk pertandingan karaoke lagu raya dan pertandingan baju raya tercantik juga diadakan. Pemenang pertandingan karaoke lagu raya telah dimenangi oleh Putra dari kelas Cempaka. Bagi pertandingan baju raya tercantik kategori lelaki dimenangi oleh Muhd Afiq dari kelas Dahlia manakala kategori perempuan pula dimenangi oleh Nur Faidatul daripada kelas Bakawali. Selain daripada penyampaian hadiah, penyampaian duit raya juga diadakan. Penyampaian duit raya telah disampaikan oleh Puan Pengetua.   

Friday, 23 August 2013

PROGRAM IHYA RAMADHAN 2013

Sepanjang bulan Ramadhan bermula 31 Julai hingga 2 Ogos, PPKI SMK Seri Tasik telah mengadakan Program Ihya Ramadhan. Pelbagai aktiviti dan program telah dijalankan antaranya pertandingan tulisan khat, pertandingan melukis gambar masjid dan pertandingan nasyid. Sepanjang bulan Ramadhan juga guru-guru PPKI menyampaikan tazkirah kepada pelajar-pelajar Islam di surau SMK Seri Tasik semasa waktu rehat. Selain itu, projek membuat kuih raya iaitu Kuih Conflake Coklat juga dijalankan untuk diberi kepada setiap pelajar. Selain projek membuat kuih raya, projek memasak juadah berbuka juga dijalankan. Antara menu yang dimasak ialah kuih popia sambal, vadee, roti gulung dan kek batik. Aktiviti membuat kotak untuk diisi kuih raya dan membuat sampul raya juga dijalankan. Setiap pelajar diminta membuat dan menghias kotak masing-masing untuk diisi balang kuih raya. Sampul raya yang siap dibuat pula dijual kepada pelajar-pelajar dan guru-guru SMK Seri Tasik. Program memasak bubur lambuk juga dijalankan dengan kerjasama Masjid Al-Najihin. Aktiviti terakhir dalam Program Ihya Ramadhan merupakan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya yang disempurnakan oleh Pn. Pengetua Pn. Hjh Siti Liah Binti Che Muda.

Friday, 19 July 2013

MAJLIS SAMBUTAN HARI LAHIR DAN HARI GURU 2013

Pada 28 Jun 2013 warga PPKI SMK Seri Tasik telah diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Lahir dan Hari Guru. Majlis ini diadakan di Bilik Hujrah Tasik 2 SMK Seri Tasik. Pelajar-pelajar, guru-guru dan PPM yang lahir pada bulan Januari hingga Jun diraikan dengan acara memotong kek dan penyampaian hadiah. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pn. Pengetua Pn. Hjh. Siti Liah Binti Che Muda. Pada hari yang sama juga, guru-guru PPKI SMK Seri Tasik diraikan dengan Majlis Sambutan Hari Guru. Guru-guru telah menyanyikan lagu keramat iaitu "Kami Guru Malaysia".

KLINIK MEMANAH DAN PERTANDINGAN MEMANAH TERBUKA ANJURAN PPKI SMK SERI TASIK

Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Seri Tasik telah menganjurkan Klinik Memanah pada 26 Jun dan Pertandingan Memanah Terbuka pada 27 Jun bertempat di Padang SMK Seri Tasik. Klinik Memanah telah dikendalikan oleh jurulatih memanah MSSM iaitu En. Nordin Bin Yusopp dan En. Rosli Bin Amir. Ribuan terima kasih diucapkan kerana sudi membantu menjayakan program yang dianjurkan oleh PPKI SMK Seri Tasik. Pelajar-pelajar PPKI SMK Seri Tasik sangat teruja dan seronok mengikuti klinik ini. Pada keesokan harinya diadakan pula Pertandingan Memanah Terbuka antara sekolah-sekolah berdekatan iaitu SMK Taman Yarl, Methodist Boy School, SMK Seri Ampang dan juga sekolah penganjur SMK Seri Tasik. Pertandingan ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada pelajar PPKI tentang aktiviti memanah di samping mengeratkan hubungan antara warga PPKI SMK Seri Tasik dan sekolah-sekolah lain. Walaupun keadaan cuaca yang kurang baik akibat jerebu, namun aktiviti ini dapat berjalan dengan lancar.

MINGGU PENDIDIKAN KHAS SMK SERI TASIK 2013

Pada 23 hingga 28 Jun yang lepas, PPKI SMK Seri Tasik telah mengadakan Minggu Pendidikan Khas. Pelbagai aktiviti dan pengisian telah dijalankan selama hampir seminggu. Aktiviti yang dirancang telah dapat berjalan dengan jayanya. Antara aktiviti yang diadakan ialah Majlis Sambutan Hari Lahir dan Sambutan Hari Guru untuk warga PPKI, pertandingan seperti pertandingan permainan dalaman, pertandingan melukis dan mewarna poster, Klinik Memanah, kuiz akademik dan Pertandingan Memanah Terbuka. Walaupun keadaan cuaca yang kurang baik akibat jerebu, namun syukur alhamdulillah, semua aktiviti telah berjaya terlaksana seperti yang dirancang. Terima kepada semua warga PPKI SMK Seri Tasik kerana telah berjaya menjayakan program tahunan ini....

Sunday, 14 July 2013

MAJLIS MERAIKAN EN. MOHD FAZLI

Pada 9 Julai telah diadakan satu majlis untuk meraikan pertukaran salah seorang warga pendidik SMK Seri Tasik yang telah banyak menabur jasa dan bakti demi kejayaan PPKI SMK Seri Tasik. Beliau yang diraikan iaitu En. Mohd Fazli B. Mohd Ster yang telah berpindah ke negeri asal beliau iaitu Perak Darul Ridzuan. Beliau telah bertukar ke SMK Seri Ampang. En. Mohd Fazli telah mula mengajar di SMK Seri Tasik pada awal tahun 2010. Beliau seorang guru yang bertanggungjawab, berdedikasi dan penyayang. Kehilangan beliau di SMK Seri Tasik amat dirasai oleh semua warga SMK Seri Tasik terutamanya warga PPKI. Semoga En. Mohd Fazli akan terus berjaya dan terus mencurahkan ilmu di sekolah yang baru..'Jika ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi...Jika ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi'....